Thursday, April 14, 2011

Transkripsi Buat Bahtera Galang Maya..


Dari tinta Galang Maya. Sebuah transkripsi indah mula di ukir. Namun disebalik tapak kecil ini mula melangkah melakar kenangan indah, tersimpan seribu satu rahsia yang tak mungkin dapat dilupakan. Onak duri bagaikan bertali arus harus di lalui. Kecil bukan penghalang. Bagaikan sang kerdil yang bertatih, melangkah meredah ranjau kehidupan sebagai seorang pelajar dan Anak Seni, pastinya kenangan bersama ini tidak dapat dilupakan. Sebuah kumpulan yang dulunya tidak dikenali, namun kini Gah di pentasnya sendiri.

Penat lelah, diharungi bersama. Aku kagum dengan semangat waja anak-anak kecil ini. Sejarah diukir, tak kiralah pahit ataupun manis. Tapi itulah sebuah kenangan abadi indah yang tidak dapat dilupakan. Jatuh bangunnya Galang Maya, kerana semangat juang yang tak pernah padam. Cinta pada seni, tapi pelajaran tidak dilupakan. Cemerlang di Pentas seiring dengan kejayaan dalam pelajaran. Jika dapat di coret satu persatu langkah yang diatur oleh Anak-anak seni ini, pastinya air mata jernih akan mengalir.

Dari lenggok badan, langkah kaki di susun seiring dengan rentak lagu. Jiwa bagaikan sudah sebati dengan irama Inang, Joget dan Zapin. Setiap rentak yang dulunya kaku, kini sudah rancak mengikut alunan muzik. Dari lantai usang hinggalah ke lantai pentas yang ternama semuanya sudah di ukir. Dari tanah air, hinggalah ke peringkat antarabangsa sudah dilakar. Pastinya, kenangan yang dikecapi oleh Anak Seni Galang Maya ini akan di kenang sampai bila-bila. Sayu hati tatkala di saat terakhir gerak tari yang di tari oleh Ahli Senior terpaksa meninggalkan saudara Galang Maya tercinta. Namun, sekalung ucapan tahniah di ucapkan kerana telah berjaya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Seni Johor Bharu..

Ingat, suka duka, tawa tangis ketika berada di Galang Maya harus dijadikan sebuah transkripsi sejarah. Kepada bahtera Galang Maya yang baru, teruskan dengan perjuangan anda. Patah tumbuh hilang berganti. Salam seribu kenangan buat semua.

Zapin, Inang tarian Istana,
Ditari indah mengikut rentak;
Binalah Bahtera dengan sempurna
Semoga tak mudah di lambung Ombak.


Catatan Tinta,

No comments:

Post a Comment